SEPANG – Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim, 45, juruterbang yang maut dalam nahas Elmina petang semalam, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, Putrajaya hari ini.
Difahamkan, jenazahnya kini sedang melalui proses pengecaman oleh adik arwah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Perkara itu disahkan bapanya, Abdul Azim Aras, 76, ketika ditemui di rumahnya di Desa Pinggiran Putra, di sini pagi ini.
Abdul Azim ketika ditemui berkata, dia mendapat berita insiden itu kira-kira pukul 4 petang semalam menerusi perkongsian di Facebook dan kumpulan Whatsapp.
Katanya, dia masih terkejut dengan pemergian arwah, namun redha dengan ketentuan Allah.
“Arwah adalah anak kedua daripada lima beradik dan merupakan bapa tunggal kepada tiga orang anak,” katanya.
Katanya, anaknya itu sebelum ini pernah bertugas di AirAsia dan Vietnam Air sebelum diberhentikan ketika Covid-19 dan menyertai Jet Valet Sdn. Bhd.
Jelasnya lagi, tiga anaknya adalah juruterbang termasuk Heikal, anak keempat dan anak kelima.
Abdul Azim juga adalah veteran Utusan Melayu dan meninggalkan akhbar itu sekitar 1977 sebagai wartawan kanan sebelum menyertai akhbar Suara Rakyat dan Mingguan Rakyat. – KOSMO! ONLINE