KUALA LUMPUR – “Mujur saya bukan jenis boros berbelanja.”
Itu pengakuan pelakon Anna Jobling mendedahkan amalan berjimat cermatnya menabung dan memantau kewangan peribadi demi merealisasikan impian memiliki sebuah kediaman sendiri dalam masa terdekat.
Kata pemilik nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, dia sangat teliti dengan berdisiplin menabung, selain mengelak daripada boros berbelanja.
“Sejujurnya, keutamaan saya buat masa sekarang adalah untuk membeli dan memiliki sebuah rumah, justeru saya dalam fasa bekerja keras mengumpul duit agar impian saya itu tercapai.
“Bagi saya, simpanan sangat penting membuatkan saya sendiri berdisiplin menabung dan jaga (pantau) duit saya.
“Namun saya tidak terlalu berjimat cermat kerana ada juga beli beg berjenama, tetapi mungkin hanya satu dua sahaja. Tidak terlalu banyak,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelakon berusia 23 tahun itu juga mendapatkan khidmat akauntan peribadi yang bertindak sebagai pengurus dan penasihat kewangan bagi aliran keluar masuk pendapatan yang dijana.
“Pada usia masih muda, sangat penting bagi saya untuk mendapatkan khidmat penasihat kewangan dalam membantu menguruskan kewangan saya berada pada landasan yang tepat.
“Saya memang ada seorang akauntan peribadi yang menguruskan duit bayaran lakonan mahupun apa jua punca pendapatan saya.
“Sudah hampir empat tahun dia bekerja sebagai pengurus juga penasihat kewangan saya,” katanya pada majlis meraikan ulang tahunnya, semalam.
Ditanya sama ada ingin menceburkan diri dalam bisnes supaya impian memiliki kediaman sendiri segera tercapai, pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu berkata dirinya kini hanya mahu fokus terhadap lakonan.
“Saya terfikir untuk buat bisnes namun saya mahu semua kerja berkualiti, jadi saya fokus terhadap kerjaya lakonan dahulu dan apabila sudah kukuh, baru saya meneroka dunia perniagaan.
“Kalau bab bisnes, saya akan buat benda yang saya minat dengan mengkaji produk tersebut, bukannya keluarkan barang, letak muka dan nama sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE.