fbpx

Nahas Elmina: Penyebaran gambar, video boleh dikenakan tindakan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Individu yang menyebarkan gambar serta video kejadian nahas pesawat terhempas di atas jalan raya di Elmina Central Park, Seksyen U16, di sini semalam, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, individu tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jelas MCMC, orang ramai diingatkan supaya menghormati dan menunjukkan empati yang tinggi kepada semua pihak yang terlibat dalam insiden berkenaan.

“Dalam kejadian pesawat terhempas di Elmina, adalah penting untuk kita menjaga sensitiviti dan mengelakkan diri daripada berkongsi gambar mangsa tragedi.

“Berkongsi gambar mahupun rakaman video mangsa nahas berkenaan bukan sahaja boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa malah melanggar prinsip serta etika yang paling asas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah MCMC, adalah penting untuk semua individu untuk membuat pertimbangan sewajarnya dengan menurunkan gambar mangsa tragedi dan tidak menyebar atau berkongsi lanjut kandungan berkenaan.

“MCMC turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga mangsa nahas pesawat di Elmina,”ujarnya.

Terdahulu Kosmo! semalam melaporkan, seramai 10 mangsa maut dalam nahas kira-kira pukul 2.48 petang di Persiaran Elmina, Shah Alam.

Kesemua mangsa yang maut adalah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan berusia 41 dan Heikal Aras Abdul Azim (45).

Enam penumpang terlibat ialah Datuk Seri Johari Harun (53), Kharil Azwan Jamaludin (43), Shaharul Amir Omar (49), Mohamad Naim Mohamed Muaidi (35) Muhammad Taufiq Mohd Zaki (37) dan Idris Abdol Talib @ Ramali (41).

Turut terkorban dalam nahas tersebut adalah penunggang motosikal, Muhammad Hafiz Muhammad Salleh (32) serta pemandu kereta, Sharipuddin Shaari (51). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI