PETALING JAYA – Orang ramai terutamanya pengguna media sosial dinasihatkan supaya tidak menyebarkan gambar atau video nahas pesawat terhempas di atas jalan raya di Elmina Central Park, Seksyen U16, di sini semalam.
Ini kerana menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, perbuatan tersebut adalah haram.
“Haram sebarkan video atau gambar mangsa yang rentung dalam tragedi tersebut.
“Itu akan melukakan hati keluarganya, juga melibatkan maruahnya,” ciapnya di laman Twitter.
Kata Zulkifli, sabda Nabi Muhammad S.A.W dalam riwayat Muslim (2554) bermaksud “Hak setiap Muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”.
Terdahulu Kosmo! semalam melaporkan, seramai 10 mangsa maut dalam nahas kira-kira pukul 2.48 petang di Persiaran Elmina, Shah Alam.
Kesemua mangsa yang maut adalah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan, 41, dan Heikal Aras Abdul Azim (45).
Enam penumpang terlibat ialah Datuk Seri Johari Harun (53), Kharil Azwan Jamaludin (43), Shaharul Amir Omar (49), Mohamad Naim Mohamed Muaidi (35) Muhammad Taufiq Mohd Zaki (37) dan Idris Abdol Talib @ Ramali (41).
Turut terkorban dalam nahas tersebut adalah penunggang motosikal, Muhammad Hafiz Muhammad Salleh (32) serta pemandu kereta, Sharipuddin Shaari (51). – KOSMO! ONLINE