fbpx

JKDM tumpaskan seludup rokok dan minuman keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Minuman keras dan rokok putih yang dirampas pihak JKDM dalam satu serbuan di Pelabuhan Klang, Rabu lalu.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok putih dan minuman keras bernilai keseluruhan RM395,457 dalam serbuan, pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata, rokok putih dan minuman keras itu dikesan dalan sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.

Beliau berkata, serbuan itu dilakukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat dengan kerjasama Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka.

“Anggaran cukai yang cuba dielakkan bagi kedua-dua rampasan adalah bernilai kira-kira RM400,000.

“Dalam serbuan itu, kami menemui 88 batang rokok putih dan 1,111 kotak berisi minuman keras dengan berat keseluruhan 7,887.24 liter,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, kontena tersebut di bawa ke Stor Cawangan Penguatkuasaan, JKDM Melaka untuk pemeriksaan lanjut

Johari berkata, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 di bawah kesalahan kerana cubaan mengimport apa-apa barang-barang larangan.

Menurutnya, mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, denda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Bagi kesalahan Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976 pula, denda dan penjara yang boleh dikenakan sama dengan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Katanya, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Johari berkata, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-80088-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.- K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI