SHAH ALAM – Tiada makluman berkenaan pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) menghadapi sebarang masalah diterima Pusat Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Menurut beliau, pesawat tersebut sepatutnya mendarat pada pukul 2.40 petang sebelum dikesan terhempas di Elmina, Seksyen U16, di sini, hari ini.
“Bagaimanapun komunikasi antara pesawat dan menara kawalan dilaporkan terputus sebelum dikesan terhempas di Elmina, di sini, berhampiran susur keluar ke Lebuh Raya Guthrie.
“Pesawat disahkan terhempas dua minit sebelum mendarat sekitar iaitu pada pukul 2.38 petang,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian.
Beliau berkata, pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkaitan mengenai perkara itu.
“Apa yang saya dapat sahkan bahawa tiada sebarang panggilan kecemasan diterima LTSAAS,” katanya.-KOSMO! ONLINE.