fbpx

Generasi muda zahir patriotisme cara berbeza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

DALAM tempoh 13 hari lagi, negara akan menyambut Hari Kebangsaan ke-66, sekali gus menandakan lebih enam dekad negara menikmati kemerdekaan dan bebas daripada cengkaman penjajah.

Bagi menzahirkan semangat patriotisme serta menghargai jasa para pejuang kemerdekaan, semua rakyat Malaysia disaran supaya mengibarkan Jalur Gemilang.

Malangnya, masih ramai yang tidak mengibarkan bendera, meskipun kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 telah bermula di seluruh negara sejak 16 Julai lalu.

Hasil tinjauan dilakukan penulis mendapati, kibaran bendera terhad kepada pejabat kerajaan dan swasta, taman awam, sekolah, premis perniagaan dan beberapa jalan utama.

Antara sebab yang dikenal pasti menjadi faktor sambutan kurang meriah adalah keadaan ekonomi semasa. Ini menyebabkan orang ramai tidak menjadikan bendera sebagai keutamaan berbanding barang keperluan lain.

Disebabkan itu, ramai yang beranggapan bahawa masyarakat pada hari ini sudah kurang rasa cinta kepada tanah air dan tidak menghargai jasa pejuang kemerdekaan.

Bagaimanapun pada pendapat penulis, kibaran Jalur Gemilang tidak boleh lagi dijadikan sebagai pengukur kepada tahap patriotisme masyarakat, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Hal ini kerana, pada zaman serba moden dan canggih ini, semangat patriotisme boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk serta tidak terhad kepada kibaran Jalur Gemilang semata-mata.

Perkembangan tersebut telah mendorong orang ramai, terutamanya golongan muda menzahirkan semangat cintakan negara menerusi platform media sosial.

Buktinya, ramai netizen Malaysia ‘menyerang’ dan mempertahankan imej negara menerusi tulisan dan video sebagai respons kepada pihak-pihak luar yang cuba membuat ‘onar’.

Penulis juga dapati, semangat patriotisme masih menebal apabila menyaksikan sendiri puluhan ribu orang membanjiri Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun lalu untuk sama-sama meraikan Hari Kebangsaan.

Penulis teruja melihat orang ramai sudah mula membanjiri Dataran Merdeka seawal pukul 3 pagi. Mereka juga sanggup berpanas lebih tiga jam bagi menyaksikan sendiri peristiwa bersejarah tersebut di depan mata.

Malah, rata-rata pengunjung pada hari itu memilih mengenakan pakaian bertemakan Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa cinta mereka kepada tanah air. Inilah cara baharu masyarakat kita menzahirkan rasa cinta kepada negara.

Kesimpulannya, penulis ingin menegaskan bahawa kibaran Jalur Gemilang sudah tidak boleh lagi dijadikan ‘pengukur’ kepada semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat kini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI