SHAH ALAM – 10 mangsa termasuk orang kenamaan dipercayai terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16 di sini petang tadi.
Walau bagaimanapun, identiti setiap mangsa yang terlibat masih lagi dikenal pasti.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 petang tadi, turut melibatkan penunggang motosikal yang dilihat rentung di tepi jalan akibat kebakaran pesawat tersebut.
Menurut beberapa saksi yang juga penunggang motosikal di kawasan kejadian, pesawat berwarna merah putih biru tersebut berpusing beberapa kali sebelum terhempas.
Pesawat tersebut juga dipercayai melibatkan jet persendirian sedang dalam perjalanan dari arah Langkawi ke Subang Jaya.
Dalam rakaman sebuah video juga, terdapat sebuah bangkai kapal terbang dalam keadaan terbakar telah terhempas di atas jalan raya bersama-sama mayat yang rentung di tepi jalan.
Di lokasi kejadian kini, lebih lima ambulans dilihat tiba dan anggota bomba sedang giat usaha memadamkan api.
Berita lanjut menyusul. – KOSMO! ONLINE