LONDON – Satu kajian mendapati buah pinggang babi berfungsi selama 32 hari sekali gus rekod baharu selepas dipindahkan pada seorang pesakit mati otak, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Pemindahan ginjal babi yang diubah suai secara genetik kepada manusia pertama kali dilakukan pada 2022. Saintis-saintis merekodkan kemajuan baharu apabila berjaya menyokong fungsi buah pinggang selama beberapa minggu.
Perkembangan itu menyokong kemajuan pemindahan organ daripada satu spesies kepada spesies lain dikenali sebagai xenotransplant. Kaedah itu boleh digunakan sebagai rawatan penyakit buah pinggang peringkat akhir.
Mereka berharap kemajuan itu juga mampu membantu usaha menangani kekurangan bekalan buah pinggang yang kritikal di seluruh dunia.
Pengarang utama kajian, Jayme Locke merupakan pakar pemindahan organ di Universiti Alabama Birmingham (UAB). Beliau juga ialah Pengarah Institut Pemindahan Komprehensif di Sekolah Perubatan Marnic E Heersink. Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Jama Surgery.
“Sungguh luar biasa untuk melihat demonstrasi praujian klinikal pertama di dunia apabila buah pinggang babi yang diubah suai mampu menyediakan fungsi normal ginjal manusia,” kata Locke.
Penemuan itu dicapai 19 bulan selepas saintis-saintis UAB pertama kali memindahkan buah pinggang babi yang diubah suai secara genetik kepada manusia pada tahun lalu.
Kajian baharu itu pula dijalankan ke atas seorang lelaki berusia 52 tahun yang tidak didedahkan identitinya atas permintaan keluarga pesakit.
Semasa kajian, saintis mengeluarkan kedua-dua buah pinggang pesakit itu dan menghentikan proses dialisis ke atasnya sebelum memasukkan organ daripada babi selepas didapati sepadan.
Buah pinggang babi yang dipindahkan mengeluarkan air kencing dalam masa empat minit, menghasilkan lebih daripada 37 liter dalam 24 jam pertama.
Ia terus berfungsi semasa keseluruhan kajian, kata pasukan penyelidik. – AGENSI