fbpx

Lee Chong Wei bidas Tat Meng, Zii Jia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHONG WEI berharap Zii Jia mampu menghargai kesudian BAM dan tidak menimbulkan isu-isu yang dianggap remeh.

LEGENDA perseorangan lelaki tanah air, Datuk Lee Chong Wei menyuarakan rasa kecewa atas tindakan jurulatih Lee Zii Jia, Wong Tat Meng menuduh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuli pemain-pemain profesional.

Chong Wei menganggap Tat Meng hanya mahu memperbesar-besarkan perkara remeh-temeh dan mahu meletakkan semua kesalahan atas badan induk tersebut.

Kata Chong Wei, BAM sebelum ini sudah memaklumkan kepada pemain-pemain profesional supaya memakai pakaian tanpa penaja sendiri, namun masih dibenarkan menggunakan raket, beg dan kasut daripada penaja masing-masing.

“Saya fikir permintaan BAM kepada pemain-pemain profesional adalah berpatutan kerana memiliki perjanjian dengan penaja. Mengapa kem Zii Jia menjadikan perkara ini sebagai isu sedangkan pemain-pemain lain seperti Teo Ee Yi, Ong Yew Sin dan jurulatih, Rosman Razak tidak ada masalah.

“Zii Jia nampaknya cuba menimbulkan isu yang tidak patut dan terlampau merungut. Dia sepatutnya perlu lebih matang dan tangani masalah dengan lebih bertanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Kelmarin, Tat Meng menerusi laman Instagram miliknya menyuarakan rasa terkejut selepas BAM tidak membenarkan pemain-pemain profesional mengenakan pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Zii Jia juga mengambil kesempatan menulis komen balas di hantaran tersebut dengan berkata ‘Jangan nanti cakap saya ‘besar kepala’ tak datang training pulak. Aishhhhh… susah ni nak jadi LZJ semua salah I (saya) pening’ dan menerima tanda suka para pengguna.

Sementara itu, Chong Wei turut memberi cadangan sekiranya Zii Jia tidak gembira dengan peraturan yang ditetapkan itu, dia boleh memilih untuk tidak menyertai latihan di akademi tersebut.

Beliau menjelaskan, tujuan utama menjemput pemain-pemain profesional menjalani latihan di ABM adalah sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan kemampuan pemain-pemain negara bagi menghadapi setiap kejohanan.

“Saya beri cadangan kepada Tan Sri (Mohamad Norza Zakaria) dan menerima maklum balas positif. Tan Sri teruja dengan konsep ini kerana ia mampu beri manfaat kepada sukan itu sendiri.

“Hasilnya adalah persetujuan dicapai bersama pemain-pemain profesional dengan mereka boleh menggunakan fasiliti-fasiliti ABM dua hari seminggu. Semuanya adalah usaha untuk tingkatkan kemampuan pemain,” tambah Chong Wei.

Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu juga berharap Zii Jia supaya menghargai setiap bantuan serta peluang yang diberikan, bukannya sentiasa merungut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI