fbpx

Kempen Beli Barangan Malaysia catat nilai jualan RM2.7 bilion tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuziah (empat dari kanan) mencuba produk makanan jenama tempatan di Kempen Beli Barangan Malaysia di Lotus's Cheras.

KUALA LUMPUR – Nilai jualan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun lalu mencatatkan nilai jualan RM2.7 bilion.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, pelaksanaan kempen tersebut menunjukkan potensi yang amat besar di dalam menjana ekonomi negara.

Katanya, KBBM berpotensi meningkatkan ekonomi serta menahan aliran wang keluar sekali gus mengukuhkan lagi ekonomi negara.

“KPDN memberi sokongan yang padu kepada program ini di mana pada tahun lepas, kita telah menjana sebanyak RM2.7 bilion.

“KPDN sekali lagi bertanggungjawab melaksanakan kempen ini di mana khusus untuk memupuk kesedaran rakyat malaysia bagi mempertingkatkan penggunaan barangan keluaran syarikat tempatan,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan kempen tersebut di sini hari ini.

Fuziah berkata, KPDN menyasarkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus bagi pelaksanaan KBBM yang akan berlangsung bermula hari ini hingga Ahad.

“Saya ucapkan tahniah kepada Lotus’s kerana telah mengambil inisiatif ini. Tahniah juga diucapkan ke atas produk-produk serta syarikat tempatan yang telah menjana jualan tertinggi sepanjang tahun 2022.

“Ini satu perkara yang amat membanggakan, ada juga jenama yang saya lihat sudah mempunyai banyak cawangan. Sempat saya bercakap kepada mereka mungkin langkah seteresnya kita boleh tawarkan sokongan dari segi francias pula supaya mereka boleh ke luar negara dan promosikan barangan mereka di sana,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Khidmat Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Azmel berkata, pihaknya berbesar hati kerana telah dipilih sebagai rakan strategik peruncitan KPDN dalam inisiatif yang bermakna buat tahun keenam.

Katanya, Lotus’s Malaysia kini memperoleh sebanyak 112 rakan kongsi PKS tempatan yang menawarkan lebih daripada 900 jenis produk yang mana 90 peratus disahkan halal.

“Prinsip asas kami sebagai sebuah peruncit adalah untuk menawarkan pengguna nilai, kualiti dan pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan yang terbaik, di samping memainkan peranan dalam menyokong pertumbuhan dan pembangunan negara.

“Bagi kami, semangat #KitakanJiran terus menjadi pendorong untuk melaksanakan komitmen kami dalam menyokong, mentransformasi, menambah baik dan menggalakkan keupayaan dan kapasiti pembangunan PKS tempatan melalui pengelolaan program Perniagaan ke Perniagaan (B2B),” katanya.

Selain itu, Azliza memaklumkan, dalam usaha untuk mengukuhkan lagi sokongan yang diberi kepada PKS tempatan, sebanyak 90 peratus barangan jenama Lotus’s (Lotus’s Own Brand) diperoleh dan dikilangkan oleh rakan kongsi PKS dan banyak produk keluarannya telah menjadi kegemaran isi rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI