fbpx

Mahkamah: Dua individu kes saman Siti Nordiana diarah lantik peguam baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nordiana

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan dua individu iaitu Sam Musyadzafar Samin dan Razidah Ahmad Senusi untuk melantik peguam baharu dalam saman fitnah yang difailkan penyanyi Siti Nordiana Alias.

Sam Musyadzafar yang merupakan Pegawai Perhubungan Awam sebuah syarikat rakaman dan Razidah yang bekerja sebagai jurusolek artis masing-masing merupakan defendan keempat dan kelima dalam kes saman itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee.

Menurut peguam itu, mahkamah telah membenarkan permohonan peguam yang mewakili kedua-dua defendan itu sebelum ini untuk menarik diri dalam saman tersebut.

“Dengan penarikan peguam itu, mahkamah mengarahkan supaya kedua-dua defendan melantik peguam baharu dalam tempoh satu minggu atau selewat-lewatnya 2 minggu daripada tarikh hari ini.

“Pada masa sama tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan,” kata Abang Azlan.

Tambah peguam itu, justeru mahkamah kemudian telah menetapkan tarikh pengurusan kes seterusnya pada 12 September ini dan pada tarikh itu kedua-dua defendan perlu memaklumkan mengenai status pelantikan peguam baharu mereka.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan perbicaraan kes saman itu selama 12 hari bermula Oktober di Mahkamah Tinggi di sini.

Tarikh-tarikh itu ialah 3,4 dan 5 Oktober, 7, 8, 9, 28, 29 dan 30 November serta 5, 6 dan 7 Disember ini.

Semalam Kosmo! melaporkan peguam yang mewakili Sam Musyadzafar dan Razidah , dijangka akan memohon untuk menarik diri dalam kes saman fitnah itu.

Sebelum ini, penyanyi yang dikenali sebagai Nana itu selaku plaintif menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36; isterinya Nur Sheila Hassim, 36; Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali Syura, Sam Musyadzafar, 43, serta Razidah, 42, masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelima.

Siti Nordiana, 39, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021 – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI