KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warganegara China yang hilang hampir setahun dikhuatiri telah diculik atau mati dibunuh selepas keluarganya tidak dapat membayar wang tebusan sebanyak RM3 juta.
Mangsa, Zhang Yong Tang, datang ke Malaysia pada 3 April 2022 bersama dua orang rakyat China yang dikenali sebagai Li, 29, dan Zhang, 23, dipercayai atas urusan perniagaan.
Menurut Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Seri Michael Chong, pasangan tersebut telah merampas pasport, telefon bimbit dan semua barangan milik mangsa sejurus ketibaannya di Malaysia.
“Pasangan tersebut juga telah memaksa mangsa bekerja dengan mereka dan melakukan pelbagai aktiviti haram. Bagaimanapun, mangsa enggan memberi kerjasama.
“Oleh sebab itu, pasangan tersebut telah bertindak membuat laporan polis terhadap mangsa. Pada 17 Jun 2022, mangsa telah ditahan oleh polis di Klang kerana tidak memiliki pasport dan dokumen pengenalan diri,” katanya ketika ditemui ketika sidang akhbar di Wisma MCA, hari ini.
Tambah Michael, pada 21 Jun 2022, mangsa telah menelefon ibunya menggunakan telefon bimbit seorang pegawai polis dan memberitahu bahawa dia telah dianiaya oleh Li dan Zhang.
“Bagaimanapun, pegawai polis berkenaan telah memberitahu ibunya bahawa mangsa telah dibebaskan pada 5 Julai 2022 oleh seorang warganegara berbangsa Cina.
“Pada 8 Julai 2022, mangsa dijumpai separuh bogel di dalam tong sampah di Kajang oleh seorang pekerja pembersihan,” katanya.
Menurut Michael, pekerja tersebut telah menyerahkan bajunya kepada mangsa dan meminjamkan telefon supaya mangsa dapat menghubungi kenalan terdekat.
“Mangsa telah menghubungi ibunya di China dan kemudian tidak dapat dihubungi lagi.
“Pada 11 Julai, ibu mangsa mendapat panggilan daripada 3 nombor berbeza dan meminta wang sebanyak RMB5 juta (RM3,175,480). Sekiranya tidak dapat membayar wang tersebut, mangsa akan dibunuh,” katanya.
Jelas Michael, ibu mangsa tidak dapat membayar wang tebusan seperti yang diminta. Oleh itu, status mangsa sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia tidak diketahui sehingga hari ini.
Menurut rakan kepada ibu mangsa, Steven Pang, dia cuba mencari mangsa di penjara dan juga pejabat imegresen namun tidak berhasil.
“Berdasarkan informasi yang saya dapat daripada pihak polis, Zhang didapati telah keluar dari Malaysia pada 19 September 2022.
“Namun, kami jangkakan pasangannya, Li masih lagi berada di Malaysia. Saya telah membuat laporan polis pada 30 Disember 2022 di balai polis Jinjang,” katanya.
Tambahnya, orang awam yang mempunyai sebarang informasi mengenai kes ini diminta supaya tampil ke hadapan dan membuat laporan polis di balai berhampiran. – KOSMO! ONLINE