PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu memastikan segala cadangan Belanjawan 2024 memberi kesan pantas kepada rakyat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, semua syor yang disarankan juga perlu bersifat ‘people-centric’ atau mampu menawarkan manfaat secara terus kepada golongan sasar.
Katanya, cadangan daripada pemegang taruh juga wajar memberi penekanan kepada kriteria ‘ready to take-off’ iaitu boleh dilakukan segera sepanjang tahun depan dan terus dinikmati rakyat tanpa menunggu.
“Cadangan dikemukakan mereka turut perlu dianggap ‘one-off’ iaitu peruntukan hanya bagi 2024 dan tiada implikasi kewangan dibawa ke tahun berikutnya.
“Pemegang taruh perlu memikirkan idea baharu yang lebih bersifat situasi menang-menang kepada semua pihak terutamanya penduduk awam,” katanya ketika berucap pada sesi libat urus KPKT membabitkan seramai 234 individu pemegang taruh berhubung syor inisiatif Belanjawan 2024 di sini hari ini.
Pemegang taruh juga jelasnya, boleh mengambil contoh pelaksanaan lima agenda progresif KPKT berdasarkan program Ekonomi Madani antaranya pembinaan baharu dan naik taraf 3,000 gerai menerusi MyKiosk dengan kos RM50 juta yang dijangka siap penghujung tahun ini.- KOSMO! ONLINE