KUALA LUMPUR – Amalan meminta dan memberi komisen dalam mana-mana pelaksanaan projek pembangunan termasuk projek perumahan perlu dihentikan dengan segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana syarikat daripada menjalankan operasi mereka dan memperoleh keuntungan, namun amalan tersebut tidak seharusnya berlaku.
“Ada keuntungan syarikat itu tiada masalah, tapi janganlah potong RM10 juta atau RM15 juta untuk menteri atau parti seperti amalan sebelum ini, ini yang merosakkan. Saya faham ramai yang marah saya kerana menyinggung hal ini tapi semua orang tahu, tanyalah pemaju Wilayah Persekutuan.
“Adakah saya betul atau salah, atau saya sengaja membesar-besarkan atau saya bercakap benar? Hakikatnya semua mengakui ini adalah amalan. Jadi kita harus hentikan amalan buruk ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik Sungai Besi di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Anwar telah merasmikan majlis pecah tanah di kawasan seluas 1.4 hektar yang menyaksikan sebanyak 1,010 unit rumah mampu milik, iaitu Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani bakal ditawarkan kepada kumpulan sasar M40 dan ke bawah yang belum memiliki kediaman.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pemaju perumahan tempatan disaran bina lebih banyak projek perumahan untuk penduduk berpendapatan rendah terutamanya di kawasan bandar.
Jelas beliau, golongan berpendepatan rendah tidak boleh disisihkan daripada arus pembangunan.
“Saya menekankan berulang kali supaya kita seimbangkan kedua-duanya, Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur harus dipacu pertumbuhan dengan bangunan indah, kemudahan, kediaman, restoran dan hotel kerana ia petanda satu kota berjaya dan makmur.
“Tetapi harus ada juga kelainan dan keunikannya iaitu ibu kota yang prihatin, ibu kota Madani maknanya sebahagian besar rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tidak boleh disisihkan daripada arus pembangunan itu.
“Maka tanggungjawab bersama kerajaan, pihak swasta supaya memastikan tiap pembangunan perumahan yang besar mesti ada perumahan sampingan untuk rakyat bawah,” katanya.
Tambah beliau, terdapat banyak negara termasuk Malaysia yang meminggirkan golongan berpendapatan rendah di sesebuah kota yang maju.
“Mereka keluar dari kota atau tinggal di kawasan sesak di bandar. Jadi kita tidak mahu perkara ini berterusan dan atas sebab itu ia memerlukan kejuruteraan sosial di mana dasar kerajaan termasuk Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar untuk mengenal pasti dan mempercepatkan kelulusan ini,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE