JOHOR BAHRU – Tiga pekerja kontrak termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang merupakan kenalan mereka di Bandar Baru Uda, di sini awal bulan ini.
Ketiga-tiga tertuduh, Najib Hashim, 22, dan adiknya serta seorang rakan mereka membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Najib dan dua lagi tertuduh masing-masing berusia 18 tahun didakwa telah merogol mangsa di dalam sebuah kenderaan berwarna hijau di tepi jalan di Bandar Baru Uda pada pukul 9 malam, 4 Ogos lalu.
Manakala, rakan kepada Najib pula didakwa atas dua pertuduhan merogol mangsa sama di sebuah kediaman beralamat di Bandar Baru Uda masing-masing pada pukul 9 malam 5 Ogos dan 10 malam keesokan harinya.
Atas kesalahan tersebut, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan sekiranya sabit kesalahan.
Peguam ketiga-tiga tertuduh, Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah memohon mahkamah memberikan jaminan minimum kerana mereka hanya bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan RM1,000 sebulan.
“Kesemua mereka turut menanggung keluarga termasuk ibu bapa yang tidak sihat selain adik kecil yang masih bersekolah,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Najib dan adiknya dijamin masing-masing sebanyak RM15,000, manakala rakan mereka pula diberi jaminan sebanyak RM24,000 bagi kedua-dua pertuduhan dihadapinya.
Siti Noraida turut memerintahkan kesemua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, tidak menghampiri atau mengganggu saksi serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Siti Noraida turut menetapkan tarikh 18 Oktober untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin.-KOSMO! ONLINE