fbpx

Enjin rosak, 4 kru kapal ditemui terdampar di perairan Mersing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat kru Kapal KLM Jaya Makmur 88 yang hanyut dari perairan Tanjung Pinang Indonesia sehingga di kedudukan 4 batu nautika barat Pulau Pemanggil perairan Mersing, kelmarin.

MERSING – Empat lelaki warga Indonesia bertindak nekad menyelamatkan diri dengan terjun dari kapal dinaiki selepas kapal berkenaan hanyut selama beberapa hari akibat mengalami kerosakan enjin utama.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, kapal KLM Jaya Makmur 88 yang mereka naiki hanyut dari perairan Tanjung Pinang, Indonesia sehingga di kedudukan 4 batu nautika barat Pulau Pemanggil perairan Mersing, kelmarin.

Katanya, APMM negeri Johor menerima maklumat aduan awam penemuan satu kapal mencurigakan hanyut berhampiran perairan Pulau Pemanggil Mersing sebelum menyalurkan maklumat tersebut ke Pusat Operasi Zon Maritim Mersing.

“Dalam masa yang sama satu laporan polis juga telah dibuat daripada penduduk Pulau Pemanggil memaklumkan bahawa empat orang yang tidak dikenali telah terdampar di pantai Pulau Pemanggil.

“Mangsa yang selamat memaklumkan mereka nekad untuk terjun ke laut demi menyelamatkan diri daripada kapal bermuatan kargo itu lalu berenang ke daratan terhampir Pulau Pemanggil kerana risau kejadian lebih buruk akan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suhaizan berkata, kapal tersebut mulai hanyut pada 12 Ogos lalu pada pukul 6 petang di perairan Tanjung Pinang Indonesia kerana mengalami kerosakan pada enjin.

Katanya, kesemua mangsa yang ditemui dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Mersing dan diserahkan kepada pihak Zon Maritim Mersing.

“Mereka akan dihantar pulang ke jeti asal di Tanjung Pinang, Indonesia apabila proses dokumentasi dengan pihak kedutaan Indonesia dan proses baik pulih enjin kapal KLM Jaya Makmur 88 selesai dilakukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI