IPOH – Kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Penerangan (Japen) negeri akan menganjurkan beberapa pertandingan sempena Bulan Kebangsaan bermula Isnin lalu sehingga 25 Ogos hadapan dengan hadiah keseluruhan bernilai RM25,000 ditawarkan kepada para pemenang.
Pengarah Japen Perak, Mohd. Rizal Hashim berkata, hadiah keseluruhan tersebut melibatkan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan, Pertandingan Video Tiktok Merdeka, Pertandingan Mobile Instagram Photo, Pertandingan Silang Kata Online yang dilaksanakan secara dalam talian dan bersemuka.
“Kesemua pertandingan yang dilaksanakan setiap tahun ini bertujuan meningkatkan semangat patriotik yang tinggi melalui kreativiti, pengetahuan, dan menzahirkan rasa cinta rakyat kepada negara.
“Kesemua pertandingan ini dilaksanakan khusus untuk rakyat negeri Perak bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka melibatkan diri dalam aktiviti sempena bulan Kebangsaan 2023,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan diadakan bukan hanya sekadar pertandingan hiasan tetapi matlamat utama adalah untuk meningkatkan semangat patriotik melalui kreativiti dan inovasi pengibaran Jalur Gemilang.
Katanya,terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Sekolah Menengah, Kategori Sekolah Rendah dan Kategori Bangunan Kerajaan atau Swasta.
“Johan bagi pertandingan ini bakal membawa pulang RM3,000, naib johan (RM2,000) dan tempat ketiga RM1,000 berserta plak dan sijil,” katanya.
Bagi Pertandingan Video Tiktok Merdeka pula, Mohd. Rizal berkata, para peserta hanya perlu menghasilkan video kreatif berdurasi selama minimum 30 saat untuk mengekspresikan semangat kemerdekaan tanah air melalui elemen kebudayaan, sejarah, bangunan ikonik di Perak atau topik lain yang sesuai.
Katanya, tempat pertama bagi pertandingan ini berupa wang tunai sebanyak RM700, tempat kedua (RM500) dan tempat ketiga (RM300) serta lima hadiah saguhati sebanyak RM150.
“Untuk Pertandingan Mobile Instagram Photo pula, para peserta diberi peluang merakam momen-momen Bulan Kebangsaan dengan menterjemah semangat nasionalisme, keindahan alam dan warisan budaya.
“Peserta hanya perlu mengambil gambar bersama bendera Malaysia Jalur Gemilang dengan menggunakan telefon pintar masing-masing. Hadiah untuk pertandingan ini berbentuk wang tunai, iaitu tempat pertama sebanyak RM700, tempat kedua (RM500) dan tempat ketiga (RM300) serta lima hadiah saguhati sebanyak RM150,” katanya.
Mohd.Rizal berkata, Pertandingan Silang Kata Online dilaksanakan secara dalam taliandan menampilkan soalan-soalan berbentuk kemerdekaan, sejarah negara dan negeri Perak sekali gus menambah pengetahuan para peserta.
“Peserta juga berpeluang menzahirkan makna kemerdekaan melalui slogan kreatif yang dihasilkan menggunakan tema Malaysia Madani dan Perak Sejahtera 2030. Para pemenang akan dipilih berdasarkan jawapan yang tepat serta slogan yang menarik.
“Hadiah bagi tempat pertama berupa wang tunai RM500, tempat kedua (RM300), tempat ketiga (RM200) dan 10 hadiah saguhati RM100,” katanya.
Tambahnya, maklumat lanjut dan syarat-syarat penyertaan pertandingan itu boleh didapati di laman sosial rasmi Jabatan Penerangan Negeri Perak atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. – KOSMO! ONLINE