PETALING JAYA – Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang), anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengeluarkan notis penamatan kepada Pestech Technology Sdn Bhd (PTSB), hari ini.
Ia berkenaan dengan kontrak untuk reka bentuk, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan untuk Penggerak Penumpang Automatik (APM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
PTSB telah dilantik oleh MA Sepang sebagai kontraktor reka bentuk dan bina (D&B) untuk Program Penggantian Aerotrain KLIA pada 14 Disember 2021 melalui proses tender terbuka.
Menurut kenyataan oleh MAHB, penamatan itu antara lain disebabkan oleh ketidakprestasian PTSB, menjejaskan pencapaian penting projek dan berisiko kelewatan untuk melaksanakan projek dalam tempoh yang ditetapkan.
“Keputusan diambil oleh Lembaga Pengarah MAHB, dengan mematuhi prinsip tadbir urus MAHB dan berdasarkan pemantauan rapi pembangunan progresif projek APM oleh pengurusan MAHB dan perunding bebasnya.
“PTSB telah didapati melanggar kewajipannya di bawah kontrak dan gagal membetulkan perkara sama dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Berikutan notis penamatan ini yang didahului dengan notis ingkar kepada PTSB, MA Sepang akan dibolehkan untuk mula semula dan menyiapkan kerja-kerja melalui penglibatan pihak lain dengan tumpuan untuk pastikan projek disiapkan mengikut jadual,” menurut kenyataan itu.
MAHB katanya, kekal komited memperuntukkan sumber yang diperlukan untuk meminimumkan sebarang kemungkinan kelewatan kepada Projek APM.
“Berkuat kuasa serta-merta, MA Sepang akan percepatkan rundingan dan perbincangan dengan pihak berkepentingan dalam projek APM untuk kesinambungan dan mengurangkan sebarang kelewatan.
“Ini termasuk bekerjasama rapat dengan pihak terlibat dalam projek penggantian landasan dan sistem kereta api, serta mengenal pasti kontraktor pihak ketiga yang berpengalaman dan boleh dipercayai,” jelas kenyataan itu lagi.
Dalam masa sama, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Sri Iskandar Mizal Mahmood, berkata, fokus syarikat adalah pada penghantaran aerotrain yang tepat pada masanya.
“Projek ini amat penting untuk memastikan keselesaan dan kemudahan penumpang kami dalam perjalanan melalui KLIA. Fokus kami untuk bergerak ke hadapan adalah pada penghantaran aerotrain yang tepat pada masanya selain pengawalan kualiti yang ketat.
“Selainnya adalah pada piawaian keselamatan projek untuk operasi dan proses tadbir urus kami,” ujarnya menerusi kenyataan sama. – KOSMO! ONLINE