IPOH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak menyiasat kes seorang pekerja warga Bangladesh yang maut akibat tertimbus simen di sebuah kilang di Chemor, di sini petang kelmarin.
Pengarahnya, Dr. Rabaayah Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa, , Roki Md. Jadidur Rahman, 26, yang merupakan pekerja am bagi sebuah syarikat kontraktor yang dilantik untuk membuat kerja pembersihan silo di kilang tersebut.
Semasa kejadian, mangsa dan dua rakan sekerja sedang menjalankan kerja memecahkan simen yang keras pada manhole menggunakan tukul dan rod besi.
“Simen yang berada di dalam silo telah tersembur keluar melalui manhole dan menyebabkan mangsa terjatuh dan ditimbus simen tersebut.
“Mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Susulan kejadian itu, JKKP mengeluarkan satu notis larangan kepada majikan untuk menghentikan kerja-kerja pembersihan silo sehingga tindakan penambahbaikan diambil.
JKKP juga akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab jika terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. – KOSMO! ONLINE