PERTAHANAN skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili merasakan peluang Malaysia mara ke pentas final Kejuaraan B-23 AFF 2023 bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai.
Walaupun bakal berdepan tugasan mencabar kerana berada dalam Kumpulan B bersama juara Sukan SEA iaitu Indonesia, namun pemain muda Terengganu FC (TFC) itu tetap positif skuad negara tetap ada kualiti tersendiri.
“Bagi saya, setiap kejohanan kita akan cuba untuk menang dan sasaran ke final masih lagi realistik. Walaupun persiapan singkat, kita cuba buat yang terbaik kerana inilah cabaran kami kena sahut.
“Peluang semua pasukan masih sama dan bola adalah bulat, macam-macam boleh jadi. Tidak semestinya Indonesia juara (Sukan SEA), mereka boleh pergi ke final sekali lagi.
“Apa yang pasti adalah kami akan memberikan saingan sengit dalam setiap perlawanan pada kejohanan tersebut,” katanya.
Muhammad Ubaidullah juga berpendapat, peluang yang diberikan oleh ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner ketika menyarung jersi Terengganu pada saingan Liga Malaysia (Liga M) memberi motivasi tambahan buatnya untuk tampil lebih baik bersama skuad B-23.
“Tetapi saya tidak akan ambil mudah dan akan manfaatkan peluang kali ini. Bagaimanapun saya tidak boleh nilai diri sendiri dan biarlah jurulatih yang nilai.
“Kalau dapat lebih banyak peluang, mungkin ia akan beri kesan lebih baik kepada permainan saya,” katanya.
Skuad B-23 kebangsaan berlepas ke Thailand semalam untuk memulakan saingan Kumpulan B berdepan Indonesia di Stadium Rayong Provincial pada esok (pukul 8 malam waktu Thailand), sebelum bertemu Timor-Leste di Stadium Rayong pada Selasa (pukul 8 malam waktu Thailand).
Kumpulan A menampilkan empat pasukan iaitu tuan rumah Thailand, Kemboja, Brunei dan Myanmar, manakala Kumpulan C pula dihuni tiga pasukan iaitu Vietnam, Filipina dan Laos.
Juara kumpulan dan naib juara kumpulan terbaik akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos, seterusnya aksi penentuan tempat ketiga dan final akan berlangsung pada 26 Ogos 2023.