fbpx

K2

Hukum wanita sedang haid sertai tilawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mengambil bahagian dalam tilawah al-Quran disifatkan bukan keperluan mendesak, justeru wanita yang sedang haid disimpulkan haram menyertainya. – Gambar hiasan

Adakah boleh pelajar perempuan sedang haid membaca al-Quran kerana pertandingan hafazan dan tilawah al-Quran. Ini kerana mereka telah buat persediaan untuk pertandingan. Tarikh telah ditetapkan, jika mereka dalam keadaan haid, maka mereka akan terlepas pertandingan. Adakah ada kelonggaran dalam keadaan demikian?

JAWAPAN: Darah haid diciptakan Allah SWT untuk sesuatu hikmah, iaitu rahsia pada keturunan, kelahiran dan kehamilan. Sepertimana yang diriwayatkan Aisyah r.anha katanya: Rasulullah SAW bersabda mengenai haid: “Ini ialah sesuatu yang telah ditetapkan Allah ke atas anak-anak perempuan Hawa” [Riwayat al-Bukhari (299)]

Haid termasuk dalam perkara-perkara umum yang berulang dalam kehidupan dan ditetapkan ke atasnya hukum-hukum syariat yang banyak seperti taharah, solat, membaca al-Quran, puasa, iktikaf, haji, baligh, jimak, talak, khuluk, ‘ila, kaffarah membunuh dan selainnya, iddah dan penyucian rahim. Justeru, para fuqaha mengambil perhatian mengenainya. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jil 1, hlm. 115-116]

Islam telah menetapkan beberapa tegahan bagi wanita yang haid, di antaranya ialah solat, puasa, tawaf, membawa mushaf dan membaca al-Quran. Namun begitu, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama mengenai hukum membaca al-Quran bagi wanita haid.

Pertama: Kebanyakan jumhur ulama berpendapat bahawa haram bagi seorang wanita haid membaca al-Quran. Pendapat jumhur ulama ini adalah bersandarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a iaitu: “Tidak dibenarkan bagi seorang yang berjunub dan haid untuk membaca sesuatu daripada al-Quran” [Riwayat Tirmidzi dan Baihaqi]

Imam al-Nawawi telah mensyarahkan dalam kitabnya bahawa: Mazhab kami (mazhab Syafie) telah berpendapat bahawa sesungguhnya diharamkan ke atas orang yang berjunub dan haid membaca al-Quran sama ada sedikit atau banyak, bahkan walau beberapa ayat sekalipun. Ini merupakan pendapat majoriti ulama seperti mana diriwayatkan oleh al-Khattabi dan lain-lain. Begitu juga dengan para sahabat seperti Umar ibn al-Khattab, Ali, Jabir r.anhum, al-Zuhri, al-Nakh’i, Qatadah, Ahmad dan Ishaq. Pendapat mereka ini adalah disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar seperti yang disebutkan dalam kitab, namun ia dihukumkan sebagai daif. [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab, jil. 2, hlm. 155]

Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya menyatakan bahawa: “Diharamkan ke atas perempuan yang haid apa yang diharamkan ke atas orang yang berjunub. Dan diharamkan ke atasnya juga beberapa perkara yang lain, di antaranya membaca al-Quran. Diharamkan ke atas orang yang haid untuk membaca al-Quran, seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Umar r.anhuma : Bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan ke atas orang yang berjunub dan haid untuk membaca sesuatu daripada al-Quran”. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jil. 1, hlm. 117]

Kedua: Sebahagian para ulama iaitu ulama Malikiyyah berpendapat bahawa harus untuk membaca al-Quran ketika dalam keadaan haid. Ini juga merupakan pendapat Syafie dalam qaul qadimnya yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur, namun ini bukan pendapat muktamad dalam mazhab.

Disyarahkan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab bahawa: Para ulama yang berpendapat dengan hukum harus berhujah dengan berbeza pada ‘ilahnya kepada dua cara: Pertama: Bahawa ditakuti perempuan haid tersebut lupa hafalannya disebabkan tempoh haid yang panjang, berbeza dengan keadaan berjunub. Kedua: Bahawa perempuan yang haid itu merupakan seorang guru al-Quran dan tidak membaca al-Quran akan menyebabkan terhenti proses mengajarnya; maka sekiranya kami berpendapat dengan cara yang pertama, maka diharuskan ke atasnya untuk membaca apa sahaja yang diinginkannya kerana tiada penanda aras kepada ketakutan akan lupa itu, maka dia adalah seperti seorang yang suci dalam bacaan. Dan sekiranya kami mengatakan mengenai cara yang kedua, maka tidak halal ke atasnya melainkan dengan keperluan yang berkaitan dengan pembelajaran dalam tempoh haid. [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab, jil. 2, hlm. 333]

Para ulama bersependapat dalam hukum membaca al-Quran dengan niat zikir. Imam Khatib al-Syirbini dalam kitabnya menyatakan bahawa:
Dan dihalalkan (diharuskan) ke atas orang yang berjunub untuk menyebut ayat-ayat al-Quran dan selainnya seperti nasihatnya, pemberitahuannya dan hukumnya tanpa niat tilawah al-Quran. Sebagai contoh, membaca (Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali) ketika menaiki kenderaan, dan membaca (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali) ketika ditimpa musibah. Begitu juga apa yang disebut di lidahnya daripada al-Quran tanpa niat tilawah. Sekiranya dia berniat dengan tilawah al-Quran atau tilawah beserta zikir, maka hukumnya haram. [Lihat Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah al-Ma’ani alfaz al-Minhaj, jil. 1, hlm. 72]

Dr. Muhammad Zuhaili juga menyebutkan: Namun sekiranya ingin membaca al-Quran dengan niat zikir, maka hukumnya harus, seperti mana harus membaca al-Quran di dalam hati tanpa melafazkannya dengan mulut, serta harus juga mereka melihat ayat al-Quran. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jil. 1, hlm. 117]

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, setelah meneliti hujah dan penerangan di atas, jelas disebutkan bahawa jumhur ulama telah berpendapat haram ke atas wanita haid untuk membaca al-Quran.

Adapun pendapat yang mengharuskan wanita haid untuk membaca al-Quran adalah tertakluk dan terikat kepada sebab-sebab seperti yang telah diterangkan, iaitu khusus kepada wanita yang bimbang terlupa akan hafalannya atau atas tujuan pembelajaran (guru atau pelajar al-Quran). Begitu juga, seperti mana yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang mengharuskan pelajar wanita yang haid untuk menghafal al-Quran kerana peperiksaan atau ujian berdasarkan kaedah darurat dan masyaqqah.

Justeru, berbalik kepada konteks persoalan, berdasarkan penelitian di atas kami cenderung untuk mengatakan haram bagi wanita haid untuk membaca al-Quran ketika pertandingan hafazan dan tilawah al-Quran. Hal ini demikian kerana, kami melihat bahawa penyertaan dalam pertandingan hafazan dan tilawah al-Quran merupakan satu pilihan dan penyertaan tersebut bukanlah suatu keperluan yang mendesak. Oleh itu, pertandingan tersebut tidak dapat dikategorikan sebagai darurat atau masyaqqah sehingga mengharuskan peserta wanita haid untuk menyertai dan membaca al-Quran ketika itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI