PIRAEUS – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengesahkan bintang utamanya, Kevin De Bruyne bakal tersisih selama empat bulan kerana perlu menjalani pembedahan terhadap kecederaan hamstring yang dialaminya ketika ini.
Kecederaan itu menyaksikan De Bruyne tidak dapat menamatkan aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menang 3-0 ke atas Burnley di Turf Moor pada Sabtu lalu.
Ia sekali gus membuatkan Guardiola ‘pening kepala’ sama ada perlu mencari pemain baharu memandangkan kecederaan dialami kapten Belgium itu cukup serius.
“Kami perlu putuskan jika dia perlukan pembedahan atau tidak, namun sudah pasti dia akan tersisih untuk beberapa bulan. Ia mungkin akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan,” kata Guardiola.
Sebelum ini De Bruyne tersisih daripada aksi pramusim, namun kembali pada babak kedua perlawanan Piala Perisai Komuniti menentang Arsenal dan tersenarai dalam kesebelasan utama bertemu Burnley.
“Kami boleh tidak membiarkan dia bermain, namun kecederaan ini boleh berulang. Sebelum saya ambil apa-apa keputusan, saya perlu bercakap dengan doktor dan fisioterapi pasukan dahulu.
“Sekarang kami tunggu dan lihat bagaimana tetapi situasi yang berlaku ini adalah satu kerugian yang amat besar buat kami,” jelas Guardiola.
Situasi itu sekali gus memberi bayangan City akan meningkatkan usaha mereka untuk mendapatkan pemain tengah West Ham United, Lucas Paqueta bagi mengisi kekosongan ditinggalkan De Bruyne. – AGENSI