PUTRAJAYA – Sebanyak 65 kluster atau 41.1 peratus daripada 158 kluster aktif yang dilaporkan di negara ini adalah berkaitan tempat kerja termasuk dua kluster diumumkan hari ini.
Ketua Pengarah kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan jumlah kes pula, sebanyak 5,681 kes positif Covid-19 yang berkaitan kluster tempat kerja melibatkan seramai 3,369 atau 59.3 peratus warga Malaysia dan 2,312 atau 40.7 peratus warga asing.
Menurutnya, ia adalah hasil tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan Covid-19 terhadap pekerja-pekerja mereka.
“Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) amat berterima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada majikan dalam bersama-sama membantu mengesan kes-kes positif dalam kalangan warga kerja.
“Tindakan ini dapat mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dan seterusnya membantu KKM dalam menjalankan aktiviti kesihatan awam sekali gus dapat melindungi individu berisiko tinggi, warga emas dan kanak-kanak daripada dijangkiti,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pekerja juga diseru mematuhi prosedur amalan standard (SOP) yang telah ditetapkan dan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan Covid-19 di tempat kerja.
“Majikan dan warga pekerja hendaklah sentiasa memastikan persekitaran tempat kerja dan kawasan gunasama misalnya tandas, dapur dan pantri yang bersih dan selamat bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Pihak majikan juga diingatkan untuk memastikan pekerja mereka mematuhi segala SOP yang ditetapkan termasuk menjaga kebersihan di kawasan penginapan dan tempat tinggal,” katanya. -K!ONLINE