fbpx

Tiada tanda dikesan sebelum bangunan Kuchai Lama runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan 10 buah kereta yang dihempap cebisan bangunan runtuh malam tadi.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang tanda mahupun keretakan dikesan pada bangunan komersial empat tingkat yang berusia lebih 20 tahun di Kuchai Lama, di sini, sebelum ia dilaporkan runtuh malam tadi.

Demikian kata pemilik syarikat Malinta Corporation Sdn Bhd, K. Veethasalam ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Menurut Veethasalalam atau lebih mesra dipanggil Sam, pihaknya tidak mengesan sebarang tanda atau keretakan pada bangunan terbabit ketika bekerja pagi semalam.

“Saya tiada di lokasi ketika kejadian malam tadi namun ada mendapat makluman daripada pihak pengurusan bangunan.

“Kita juga bekerja seperti biasa pada pagi semalam dan tidak ada apa-apa tanda keretakan pada bangunan yang kita kesan. Semua berlaku secara tiba-tiba dan cuaca juga baik sahaja.

“Seluruh blok ditutup dan berhenti beroperasi termasuklah syarikat saya. Pejabat saya berada di tingkat empat yang mana pihak polis juga menyatakan keadaan tingkat itu didapati tidak selamat,” ujarnya kepada Kosmo!

Veethasalam yang mempunyai 10 unit di bangunan komersial terbabit memberitahu dia dan pihak pengurusan bangunan akan mengadakan perbincangan bagi melantik pakar perunding bangunan untuk menyelesaikan permasalahan ini dengan segera.

“Kita kena dapatkan satu agensi pakar perunding bangunan yang akan beri keputusan muktamad tentang keselamatan bangunan.

“Saya juga berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan buat sementara waktu, orang ramai tidak dibenarkan untuk keluar masuk di kawasan sekitar kerana dikhuatiri sisa bangunan akan runtuh,” tambahnya.

Pada masa sama, Pejabat DAP Seputeh antara yang diarahkan untuk berhenti beroperasi susulan insiden terbabit.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika ditemui di lokasi kejadian menzahirkan rasa syukur dan lega kerana insiden terbabit tidak melibatkan kemalangan jiwa.

“Saya berada di pejabat saya semalam dan mujur kejadian tidak berlaku pada siang hari. Kalau ia berlaku pada waktu siang, mungkin ramai yang akan tercedera atau mungkin saya dan lebih ramai lagi yang akan terperangkap di dalam bangunan.

“Buat masa ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut manakala pejabat serta semua unit ditutup sementara waktu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI