KUALA TERENGGANU – Portfolio Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco Terengganu diumum hari ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau akan turut mempengerusikan portfolio Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber.
Tambah beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Datuk Satiful Bahari Mamat pula kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.
“ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah pula akan mempengerusikan Jawatankuasa
Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Adun Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi pula sebagai Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah.
“ADUN Jabi, Dr. Azman Ibrahim kekal Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi manakala ADUN Kota Putera, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman pula mempengerusikan jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau,” katanya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, ADUN Chukai, Hanafiah Mat dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar yang meliputi skop pengurusan bencana.
Tambah beliau, ADUN Ajil, Maliaman Kassim mempengerusikan jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional.
“ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim pula mempengerusikan jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan manakala Ariffin Deraman (Alor Limbat) dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna.
“Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan perubahan Iklim pula disandang Datuk Razali Idris (Kijal),” katanya. – KOSMO! ONLINE