LIVERPOOL – Kapten Liverpool, Virgil van Dijk nampaknya sudah bosan dengan kegagalan pasukan itu untuk membawa masuk beberapa lagi pemain baharu bagi mengharungi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24.
Setakat ini, The Reds hanya membawa masuk Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai biarpun kehilangan beberapa pemain termasuk James Milner, Naby Keita, Jordan Henderson, Fabinho dan Roberto Firmino.
Selain itu, percubaan Liverpool memancing pemain Brighton, Moises Caicedo turut gagal apabila dia memilih untuk menyertai Chelsea selain mungkin akan terlepas Romeo Lavia, juga kepada The Blues.
Justeru, Van Dijk menggesa pengurusan The Reds supaya menekan butang panik kerana mereka memerlukan pemain baharu selepas pasukan itu didominasi Chelsea ketika kedua-dua pasukan seri 1-1 Ahad lalu.
“Saya sangat kagum dengan mereka (Mac Allister dan Szoboszlai) kerana menampilkan aksi cukup baik walaupun sedang menyesuaikan diri dengan pasukan. Mereka buktikan kemampuan mereka di atas padang.
“Jendela perpindahan masih belum ditutup, jadi kita semua tunggu sama ada kami boleh bawa masuk beberapa pemain baharu untuk memperkasakan pasukan bagi mengharungi saingan musim ini,” katanya.
Terdahulu, legenda bola sepak England, Alan Shearer melabelkan Liverpool sebagai memalukan apabila mereka terlepas peluang mendapatkan Caicedo meskipun pada awalnya sudah mencapai kata sepakat bersama Brighton berhubung yuran perpindahan. – AGENSI