LOS ANGELES – Pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg mahu Elon Musk mengambil serius cabaran untuk mengadakan pertarungan hebat dalam sangkar bernilai AS$1 bilion (RM4.63 juta), lapor portal berita MailOnline semalam.
Zuckerberg yang juga Ketua Eksekutif Meta memberitahu, jika Musk tidak serius tentang cadangannya sendiri, adalah lebih baik mereka menumpukan kepada perkara lain.
Presiden Kejuaraan Pertempuran Muktamad (UFC), Dana White mengesahkan kedua-dua taikun itu sememangnya serius untuk bertarung versi sukan bela diri campuran (MMA) yang dijangka menjana pendapatan lebih AS$1 bilion tahun ini.
Bagaimanapun, Zuckerberg kini ragu terhadap Musk apabila berkata: “Jika Elon serius tentang tarikh sebenar pertarungan ini, beliau tahu bagaimana untuk menghubungi saya.”
Pada hujung minggu lalu, Musk turut membocorkan tangkap layar mesej peribadinya dengan Zuckerberg yang enggan membenarkan mereka berlatih di rumah agam milik pengasas bersama Meta itu di Palo Alto.
Zuckerberg membina gelanggang Octagon di rumah itu awal bulan ini sebagai persediaan menghadapi potensi pertembungannya dengan Musk, menyebabkan isterinya, Priscilla Chan naik berang.
Penulis biografi mengenai Musk yang akan diterbitkan bulan depan, Walter Isaacson berkongsi foto di Twitter tentang ciapan bilionair terkaya itu dengan Zuckerberg.
Dalam tangkap layar itu, Zuckerberg menjawab cabaran Musk untuk ‘pertarungan latihan’ dalam Octagonnya dengan berkata: “Jika anda masih mahu melakukan pertarungan MMA sebenar, maka anda harus berlatih sendiri dan beritahu saya apabila anda bersedia untuk bersaing.” – AGENSI