fbpx

SOP Deepavali sama seperti perayaan lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk setiap musim perayaan adalah sama bagi mana-mana kaum dan agama di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak mahu ada pihak yang cuba mempertikaikan tindakan SOP itu khususnya menjelang sambutan perayaan Deepavali esok.

“Saya tidak mahu ada pihak-pihak tertentu yang cuba meniupkan semangat perkauman yang mengatakan kerajaan memberi tekanan dan menyusahkan usaha menyambut Deepavali.

“Sebenarnya tidak ada banyak beza antara SOP waktu Deepavali atau mana-mana perayaan. Ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri Mei lalu, pergerakan rentas negeri juga tidak dibenarkan.  Saya ingin jelaskan bahawa SOP ini sama untuk setiap kaum dan agama di negara kita,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga diarahkan untuk melaksanakan lebih banyak rondaan dan pemantauan bagi memastikan SOP dipatuhi sepanjang musim perayaan ini.

Ismail berkata, kerajaan juga menetapkan pergerakan rentas daerah dan negeri juga tidak dibenarkan sepanjang musim perayaan.

Oleh itu, sekatan jalan raya (SJR) akan dilaksanakan di setiap sempadan negeri dan daerah bagi memantau pergerakan itu.

“Saya berharap tidak ada pihak yang berhasrat untuk rentas negeri dan daerah untuk balik ke kampung bagi menyambut perayaan Deepavali.

“Jika kita lihat ketika musim perayaan Aidilfitri dahulu, banyak kenderaan diarah berpatah balik. Saya nasihatkan anda tidak perlu rentas negeri kerana ia tidak dibenarkan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI