fbpx

96 jam lawan api atas kapal kargo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sharenliza (kanan) menunjukkan lokasi kapal kargo yang terbakar sambil diperhatikan Nor Arifin (kiri) melihat lokasi kapal kargo yang terbakar pada sidang akhbar hari ini. -Foto AFIQ RAZALI/KOSMO!

KLANG – Bahan asid termasuk organic peroxide yang berada dalam kontena di atas kapal MV KMTC Shenzhen membuatkan operasi pemadaman mengambil masa selama empat hari.

Dalam kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 6.50 petang pada Sabtu lalu telah menyebabkan 10 buah kontena terbakar dan 14 terjejas di kedudukan enam batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan terhadap 18 kru termasuk kapten kapal yang dalam pelayaran ke Pelabuhan Barat dari Hong Kong tersebut.

Timbalan Pengarah Bomba Selangor, Nor Arifin Kamari berkata, berdasarkan maklumat awal mendapati kebakaran melibatkan 24 kontena yang diletakkan antara tujuh hingga lapan barisan dengan masing-masing setinggi dua tingkat.

Kata beliau, anggota bertugas termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) melakukan pemeriksaan termasuk membuka setiap kontena yang dikatakan terlibat itu.

‘Hasil pemeriksaan mendapati 10 buah kontena telah terbakar dengan salah satunya mengandungi bahan kimia organic peroxide yang bertindak balas terhadap air.

“Pada kontena itu juga terhadap pelbagai barangan awam dan bahan berbahaya seperti asid,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Media terdahulu melaporkan satu kebakaran berlaku melibatkan beberapa kontena di atas kapal kargo yang dalam pelayaran ke Pelabuhan Klang, Sabtu lalu.

Nor Arifin menjelaskan operasi pemadaman terpaksa dilakukan berhati-hati bagi mengelakkan merebak dengan keseluruhan kontena atas kapal tersebut adalah 1,182.

“Cabaran amat getir terutama apabila berlaku di laut lepas termasuk logistik dan pengangkutan selain menggunakan alat penafasan semasa pembakaran dengan tempoh masa adalah 40 minit setiap seorang.

“Kita juga perlu berhati-hati kerana terdapat 67 bahan kimia atau berbahaya dari keseluruhan kontena atas kapal itu,” katanya.

Jelas beliau, kebakaran berjaya disahkan dipadam sepenuhnya pukul 12 tengah hari hari ini dengan punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd. Sharenliza Ghazali memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua barangan dalam kontena mempunyai dokumen untuk perjalanan atas kapal kargo itu.

Ujarnya, secara keseluruhan operasi pemadaman melibatkan 200 individu daripada pelbagai agensi termasuk kru kapal berkenaan.

“Kita juga melakukan operasi pemadaman menggunakan penyejukan terutama terhadap kontena berisi bahan kimia.

“Kelengkapan alat pemadaman atas kapal juga membantu operasi tersebut. Kapal berkenaan kini masih berada di lokasi kebakaran bagi siasatan lanjut,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI