PETALING JAYA – Serangan yang dilemparkan ke atas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai propaganda politik bagi menyebarkan kebencian terhadap pemimpin tersebut.
Anak perempuannya dan juga Exco Wanita UMNO Pusat, Nurulhidayah Ahmad Zahid memuat naik semula kenyataan Jusoh Gobek berkata, ramai yang membenci bapanya tanpa sebab yang jelas.
“Politik adalah berkenaan perang saraf dan persepsi. Ramai aku jumpa orang yang tak suka kepada beliau (Ahmad Zahid) dan aku tanya mereka kenapa anti-Zahid?
“Mereka tidak dapat menjawab secara jelas. Paling-paling yang mereka dapat jawab adalah, Zahid ada kes mahkamah.
“Apabila mereka jawab begitu, aku katakan Mahiaddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga ada kes mahkamah. Mereka akan terdiam dan hilang punca,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.
Katanya, secara kesimpulan, ramai orang membenci (Ahmad Zahid) tanpa sebab dan hanya menurut pandangan orang lain tanpa memastikan kebenarannya.
“Ahmad Zahid, sama seperti Datuk Seri Najib Razak yang mana antara mangsa perang saraf dan propaganda politik. Itulah realiti sebenarnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE