PUTRAJAYA – Kementerian Luar menyifatkan dakwaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian berhubung isu Triti Laut Sulawesi bersifat fitnah.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, wakil rakyat di Sabah itu diminta agar segera memperbetulkan kenyataan dibuatnya itu kerana ia jelas mengelirukan.
“Tolong hentikan, jangan kongsi kenyataan keliru bahkan sudah sampai kepada tahap fitnah menimbulkan gusar dan kebingungan masyarakat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 8 Ogos lalu, ADUN Parti Warisan Sabah itu mendakwa konon Kerajaan Persekutuan menyerahkan kawasan sempadan maritim dipertikaikan tersebut kepada pihak Indonesia.
Tohmahan berkenaan dibangkitkan Assaffal ketika persidangan Dewan Undangan Negeri yang membahaskan Rang Undang-undang Biodiversiti Sabah (Pindaan) 2023 minggu lalu.
Mengulas lanjut, Mohamad mengulangi pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah ditegaskannya ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada 13 Jun lalu.
“Saya dari Sabah dan takkan rela menyerahkan hak negeri ini digadai, bahkan selagi saya berada di Wisma Putra, saya akan terus mempertahankan kepentingan Sabah,” ujarnya.
Beliau juga meminta Assaffal agar lebih bertanggungjawab termasuk meminta maaf atas kenyataannya itu. – KOSMO! ONLINE