BANGKOK – Seorang pelancong dari Russia ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah selepas jatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Pattaya, Thailand, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Daria Iuzifiak, 32, terjatuh dari ketinggian 24 meter kelmarin dalam keadaan separuh bogel, demikian menurut polis.
Teman lelakinya, Fedor, 30, ditahan sejurus selepas insiden itu dalam keadaan marah dan enggan memberikan kerjasama.
Kolonel (polis) Wattanachai Sengrit berkata, ketika kejadian, Fedor memegang kedua-dua kaki mangsa dalam keadaan terbalik di tingkap sebuah kediaman sebelum pegangannya menjadi semakin longgar, menyebabkan Daria jatuh dan mati.
Motif kejadian masih belum jelas, iaitu sama ada Fedor cuba menyelamatkan mangsa daripada terjatuh atau mahu membunuhnya.
“Teman lelaki mangsa memegang segelas arak dan mabuk ketika bercakap dengan polis. Dia juga pada awalnya enggan bekerjasama dengan polis.
“Keadaan bilik mereka berselerak dan dipenuhi dengan sisa makanan serta minuman. Namun, tiada tanda-tanda berlakunya pergelutan,” kata Wattanachai.
Fedor kini ditahan sementara siasatan diteruskan. – AGENSI