PASIR PUTEH – Seorang lelaki cedera pada bahagian betis kirinya selepas dipercayai ditembak rakannya dengan sepucuk pistol ketika sedang membaiki kenderaan di depan sebuah rumah di Kampung Telosan di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an cedera parah pada bahagian betisnya sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Anis di sini.
Jiran mangsa yang dikenali Kak Yah, 66, berkata, dia terdengar seperti bunyi letupan sebanyak tiga kali ketika sedang tidur.
Menurutnya, dia pada mulanya mengesyaki kanak-kanak bermain mercun di kawasan rumah mangsa yang terletak kira-kira 15 meter dari rumahnya.
“Selepas itu, saya terdengar bunyi enjin kereta di depan rumah sebelum bergegas bangun dan menjenguk keluar rumah menerusi tingkap.
“Saya dapati ada beberapa buah kenderaan polis di hadapan rumah tersebut. Saya bergegas keluar dari rumah dan bertanya kepada salah seorang anggota polis,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Kak Yah memberitahu, dia dimaklumkan ada seorang lelaki yang mengalami kecederaan akibat ditembak pada bahagian betis.
Menurutnya, difahamkan, kejadian berlaku ketika jirannya itu sedang membaiki kenderaan dan sebuah kereta datang sebelum melepaskan tembakan.
“Berdasarkan maklumat jiran-jiran lain, mangsa mengenali lelaki yang melepaskan tembakan itu,” katanya.
Difahamkan, suspek dipercayai menembak mangsa selepas mereka bertengkar dan bergaduh di sebuah lokasi lain dekat sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek dan mengenal pasti punca kejadian. – KOSMO! ONLINE