KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) masih sedang menyiasat syarikat-syarikat pelaburan yang didakwa telah memperdaya serta menipu lebih 500 mangsa sejak laporan polis dibuat pada Mac lalu.
Perkara tersebut dimaklumkan semasa serahan surat mohon status perkembangan semasa di bawah Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah dikemukakan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di pejabat SC, di sini, hari ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, semasa pertemuan bersama SC, pihaknya dimaklumkan bahawa kes masih disiasat dan telah diberikan ‘top priority’ (keutamaan).
Ujarnya, berdasarkan maklumat daripada mangsa-mangsa, lebih 15 keterangan sudah diambil namun pihaknya tidak dimaklumkan jangka masa siasatan atau jenis kaedah strategi yang sedang dijalankan oleh SC.
“Berita baik dari pihak SC hari ini adalah kes ini tidak diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA). Kita dimaklumkan, SC masih menjalankan siasatan.
“Tapi kami tidak dimaklumkan tempoh masa, disiasat di bawah akta apa dan sebagainya kerana mereka kata ia adalah strategi dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Hari ini sudah lebih 140 hari sejak laporan polis dan aduan dibuat sejak Mac lalu. Ia adalah satu masa yang agak munasabah untuk agensi mempercepatkan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat SC, di sini, hari ini.
Menurut Hishamuddin lagi, jika masih tiada jawapan diterima pada bulan Oktober, pihaknya akan membuat semakan kehakiman di mahkamah dan menggunakan beberapa saluran lain bagi memberikan tekanan kepada agensi-agensi yang terlibat.
“Saya harap mangsa-mangsa tidak berputus asa dan teruskan berusaha sebab banyak lagi saluran lain yang boleh digunakan untuk memperjuangkan hak mereka (mangsa).
“Kita ada saluran mahkamah, parlimen, dewan negara atau senator, Jabatan Peguam Negara dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) untuk kita berhubung terus bagi memberikan tekanan kepada pihak terbabit,” ujarnya.
Pada Mac lalu, Kosmo! melaporkan harapan hampir 3,000 mangsa untuk mendapat pulangan imbuhan lumayan akhirnya lebur setelah didakwa terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan yang membabitkan kerugian lebih RM830 juta.
Antara pelaburan ditawarkan adalah Tabung Amanah, saham boleh tebus syariah atau ‘Islamic Redeemable Shares (RPS-i), Nota Jangka Sederhana (MTN) dan Sukuk.
Menurut MHO, mangsa didakwa tidak lagi menerima bayaran dividen dan terdapat syarikat-syarikat berkenaan juga telah menebus semula saham tanpa membuat sebarang pembayaran kepada pelabur.
Sementara itu, seorang mangsa yang juga peniaga, Saiful Rahman, 36, berkata, SC merupakan badan penguatkuasa yang diharapkan boleh membela nasib-nasib pengadu.
Katanya yang sudah melabur lebih RM500,000 sejak tahun 2019, tempoh siasatan yang dijalankan adalah terlampau lama sekali gus menimbulkan persepsi negatif kepada badan penguatkuasa yang mempunyai nama ‘besar’.
“Kami merasakan tempoh masa yang diambil adalah terlalu lama sejak aduan dibuat. Bila terlalu lama, ia menimbulkan rasa kurang percaya kepada SC. Bukan sahaja kepada SC tetapi agensi penguat kuasa yang lain juga.
“Kami hanya mampu menunggu dan berharap agar keadilan dapat ditegakkan dengan syarikat-syarikat pelaburan terbabit dapat diheret ke muka pengadilan,” katanya. – KOSMO! ONLINE