MELAKA – Seorang pengurus ladang sebuah pertubuhan di bahagian selatan direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas dipercayai mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran matan palsu melibatkan nilai RM40,000, sejak tiga tahun lalu.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap suspek yang berusia 40 tahun.
Suspek tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.
Terdahulu lelaki itu ditahan pada pukul 6 petang semalam selepas hadir ke pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan.
Suspek dipercayai menggunakan nama individu lain bagi tujuan membuat tuntutan secara berkala sejak November 2020 hingga Januari 2023 membabitkan jumlah sebanyak RM40,000.
Difahamkan tuntutan berkenaan dibuat untuk kepentingan peribadi suspek.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.