SEPANG- Majlis Perbandaran Sepang (MPS) bakal menganjurkan Program Pesta Pantai Bagan Lalang @ Sepang sebagai salah satu usaha ‘menghidupkan’ suasana pantai di daerah berkenaan.
Menurut Yang Dipertua MPS, Datuk Abd. Hamid Hussain, ia merupakan acara tahunan sejak tahun 2016, namun tertangguh pada 2020 akibat Covid-19 dan digerakkan semula pada tahun ini dengan mengambil kira sambutan menggalakkan daripada pengunjung, penduduk dan peniaga tempatan.
Katanya, pihaknya menetapkan sasaran untuk melaksanakan Pesta Pantai Bagan Lalang di bawah Teras 3- Pembangunan Mampan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor
“Saya melihat ini merupakan satu pendekatan terbaik bagi kita menghidupkan suasana di Pantai Bagan Lalang.
“Setiap pantai perlu mempunyai acara tersendiri bagi menambah daya tarikan kepada pengunjung untuk datang ke sini khususnya dengan adanya penganjuran program berkualiti seperti ini,” katanya di sini hari ini.
Pesta Pantai Bagan Lalang akan diadakan pada 19 dan 20 Ogos iaitu pada hujung minggu ini dengan 20 aktiviti menarik dianjurkan sepanjang pesta itu.
Antaranya ialah bola tampar pantai dengan kerjasama Pejabat Belia Daerah Sepang; Pertandingan Wau Kapal dengan kerjasama Persatuan Wau Kapal Selangor dan Pertandingan Silat Antarabangsa @ Sepang kerjasama dengan PESAKA Daerah Sepang.
Selain itu ialah, Pertandingan Memasak Kuih Bangkit Buah Naga dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya Sg.Pelek yang merupakan ciptaan inovasi pertama di Selangor sekali gus bakal menjadi ‘trademark’ kepada daerah Sepang yang kaya dengan hasil buah naga.
Turut dimeriahkan ialah acara Pertandingan Tarik Tali Pantai, Pertandingan Istana Pasir, Persembahan artis tempatan selain Sukan Rakyat dan Permainan Tradisional serta Merdeka Fun Ride dan Fun Run.
Pantai Bagan Lalang antara pantai yang cantik di Selangor selain Pantai Morib dan Bagan Nakhoda Omar yang popular sebagai lokasi perkelahan dan perkhemahan.
Semasa air surut di Pantai Bagan Lalang, pengunjung boleh berjalan ke tengah laut sehingga 300 ke 400 meter. – KOSMO! ONLINE