PEMEGANG rekod 200 meter (m) kebangsaan, Russel Alexander Nasir Taib sanggup berkorban mengambil cuti tanpa gaji untuk pulang ke tanah air menyertai kem latihan pusat ke Sukan Asia Hangzhou, China bulan depan.
Russel, 25, yang kini berpangkalan di Loughborough, United Kingdom, akan beraksi acara 200m dan 4x100m pada saingan olahraga yang akan membuka tirai dari 29 September hingga 5 Oktober depan.
Bagaimanapun, bekas pemenang pingat gangsa 400m Kejohanan Remaja Asia 2015 itu masih memerlukan sedikit masa untuk menguruskan jadualnya kerana perlu melakukan kerja-kerja harian bagi menyara karier olahraganya.
“Saya telah berhubung dengan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) mengenai latihan saya di Malaysia nanti menjelang Sukan Asia dan kini sedang menanti perinciannya.
“Ia tak mudah seperti terus mengambil penerbangan pertama ke Malaysia. Saya atlet yang tidak mempunyai apa-apa tajaan, saya mempunyai pekerjaan di sini untuk menyara karier sebagai atlet dan membayar bil-bil.
“Ia proses sama ketika di Australia sebelum ini kerana saya belajar dan perlu bekerja secara sambilan. Ada perkara perlu saya pertimbangkan dan ambil cuti tanpa gaji untuk mewakili Malaysia,” katanya.
Russel dengan rekod peribadi 200m iaitu 20.77 saat (s) menegaskan, segala pengorbanannya itu demi merealisasikan impiannya mewakili Malaysia buat kali pertama di pentas Sukan Asia.
Atlet yang berdarah campuran Malaysia-Australia itu mahu menebus kekecewaan selepas namanya terpaksa digugurkan pada saat-saat akhir ke Sukan SEA Kemboja 2023 disebabkan kecederaan hamstring.
“Saya telah pulih sepenuhnya pada Jun lalu. Sejak itu, saya berjaya melakar mencatat 20.97s bagi acara 200m pada Kejohanan Olahraga Sirkit Eropah.
“Saya kerap mendapat jemputan beraksi di sekitar Eropah, namun sebagai atlet yang tiada tajaan, ia bukan mudah untuk saya merebut peluang seperti itu. Saya berusaha untuk bersaing dalam kejohanan di sini,” jelas Russel.