KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa bagi suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan berkenaan.
Sebelum ini, berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mendakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan yang didakwa ke atasnya adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.
Sementara itu, pihak pendakwaan selaku responden menegaskan pertuduhan rasuah RM232.5 juta dihadapi Muhyiddin tidak bersifat diskriminasi berikutan keperluan undang-undang mengikut Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Tatacara
Jenayah sudah dipatuhi.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudddin Wan Ladin, berkata tiada pelanggaran hak terhadap Muhyiddin di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM195 juta tiga tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menggunakan kedudukannya untuk empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta.
Ia yang mana kesemua suapan-suapan itu diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu.
Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE