LONDON – Bintang Brighton, Moises Caicedo hanya menanti masa untuk diumumkan sebagai pemain baharu Chelsea dengan harga perpindahan termahal Britain bernilai £115 juta (RM671.44 juta).
Ia bakal menamatkan perpindahan saga melibatkan Caicedo, 21, yang bersetuju dengan terma perjanjian daripada The Blues menerusi kontrak panjang selama lapan tahun di Stamford Bridge.
Tonggak Ecuador itu akan menjadi aset terbaharu pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino yang baru sahaja berjaya mencipta sensasi mengikat Liverpool 2-2 pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Menariknya, dua pembelian baharu The Blues musim ini, Nicolas Jackson berjaya menampilkan prestasi menghiburkan dan Axel Disasi pula muncul wira apabila meledak gol penyamaan dalam perlawanan itu.
Ia pastinya tamparan besar buat The Reds kerana sebelum ini sudah bersetuju dengan Brighton untuk mendapatkan khidmat Caicedo menerusi yuran perpindahan bernilai £111 juta (RM648.08 juta).
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp merasakan Caicedo mampu mengisi kekosongan di bahagian tengah bertahan selepas kapten, Jordan Henderson dan Fabinho berhijrah ke Arab Saudi baru-baru ini.
Bagaimanapun, impian itu musnah selepas Caicedo lebih berminat menyertai Chelsea berbanding Liverpool walaupun The Blues tidak mengambil bahagian dalam sebarang kejohanan Eropah musim ini.
Perpindahan itu bakal menyaksikan Caicedo sebagai pemain termahal dalam sejarah EPL mengatasi rekod lama ketika Chelsea membeli Enzo Fernandez dari Benfica menerusi harga £107 juta (RM626.18 juta) pada Januari lalu. – AGENSI