KLANG – Walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, ia tidak menjejaskan sambutan Deepavali buat sebuah keluarga di daerah ini.
Seorang pemilik restoran, A. Sinnaiah, 56, hiasan lantai tradisional ‘rangoli’ atau kolam menjadi acara wajib buat mereka sekeluarga setiap kali munculnya Deepavali.
Menurutnya, penyiapan rangoli itu mengambil masa hampir dua jam dengan menggunakan lapan kilogram (kg) beras hancur yang telah diwarnakan menggunakan pewarna khas.
“Corak burung merak sentiasa menjadi pilihan kami sekeluarga setiap kali tibanya Deepavali. Ia melambangkan indahnya perayaan melalui penggunaan warna yang pelbagai.
“Merak juga berkait rapat dengan agama kami (Hindu) yang mana Deepavali membawa maksud pesta cahaya. Selain kolam, lampu dan pelita juga dipasang pada malam menjelangnya perayaan,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Tambah Sinnaiah, dia dan isteri, K Saraswathy, 51, turut mendapatkan khidmat kenalan untuk rekabentuk kolam ekoran kurang mahir.
Ujarnya, kolam itu dibiarkan sehingga dua minggu sebelum dibersihkan dan lebihan daripada beras akan dijadikan makanan burung.
“Bagi memeriahkan lagi suasana Deepavali ini, beberapa kuih tradisional disediakan seperti kuih bunga ros, maruku, denderam (peneram), halwa dan manisan yang merupakan menu wajib tiap kali tibanya perayaan,” – K! ONLINE