BAGAN DATUK – Kerajaan wajar menubuhkan Lembaga Kelapa Malaysia sebagai usaha membantu penanam kelapa khususnya pekebun kecil serta menggalakkan penanaman kelapa dengan lebih meluas sekali gus mengurangkan import buah tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, penubuhan itu membolehkan pekebun kelapa memperoleh banyak faedah seperti subsidi dan geran.
“Bersesuaian pada masa ini kerajaan menimbang keperluan penubuhan badan khusus untuk kelapa sebagaimana tanaman lain seperti kenaf, koko, nanas, sawit dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Pada 2019, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang ketika itu menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, mengumumkan cadangan penubuhan Lembaga Perindustrian Kelapa dan Nanas Malaysia, bagaimanapun tidak menjadi kenyataan sebaliknya hanya ditubuhkan Lembaga Nanas Malaysia.
Setakat 2020, keluasan kawasan penanaman kelapa di Malaysia adalah 84,942 hektar dengan jumlah pengeluaran 560 juta biji kelapa setahun.
Mohd. Zolkafly berharap kerajaan mempertimbang cadangan tersebut demi faedah dan kebajikan penanam kelapa serta mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap kelapa import yang mencecah 31.8 peratus.
Jelasnya, cadangan sudah dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komuniti, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Mei lalu dan beliau menyatakan akan memperhalusinya di peringkat kementerian dan Kabinet.
Dalam pada itu, empat varieti baharu benih kelapa dihasilkan di Stesen Mardi Bagan Datuk itu yang diberi nama diberi nama Mylag, Marleca, Careni dan Careca, mampu menjana pulangan tinggi iaitu kapasiti pengeluaran melebihi 25,000 biji bagi satu hektar setahun.
Menurutnya, empat benih baharu itu lebih tahan penyakit, mudah dipetik kerana tidak terlalu tinggi dan boleh menghasilkan buah yang banyak. – KOSMO! ONLINE