SHAH ALAM – Keperitan hidup diharungi seorang wanita yang sarat mengandung ditinggalkan suaminya sejak lima bulan lalu berakhir apabila dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Wanita tersebut dijangka akan melahirkan anak keduanya pada akhir Ogos ini.
LZS berkata, wanita itu yang turut menjaga anak sulung berusia dua tahun tidak bekerja ekoran sarat mengandung dan tiada sumber pendapatan.
Katanya, suaminya telah lima bulan menghilangkan diri tanpa khabar berita selain keluarga lelaki berkenaan juga gagal dihubungi.
“Aduan diterima daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Terkejut dan hiba perasaan kami apabila dimaklumkan telah ditinggalkan tanpa sebarang kewangan.
“Akhirnya, sewa rumah hampir empat bulan tertunggak dan tiada sebarang kenderaan untuk ke sesuatu tempat telah menambah keperitan wanita tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Jelas LZS, bancian asnaf telah dilakukan dengan serta-merta dan hasil kiraan had kifayah mendapati wanita itu layak dikategorikan sebagai asnaf fakir.
“Sumbangan tunai diserahkan kepada wanita itu untuk menampung keperluan harian sementara menunggu bantuan asasi yang lain yang akan dibantu kelak,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE