ALOR SETAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit, di sini sebentar tadi.
Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Muhammad Sanusi, 49, dilantik sebagai Menteri Besar Kedah bagi penggal kedua selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah bertanding satu lawan satu dengan calon muka baharu BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.
PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah manakala tiga lagi kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) iaitu di Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam.
Muhammad Sanusi sebelum ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 pada 17 Mei 2020 selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu.
Beliau menggantikan ADUN Jitra, Datuk Seri Mukhriz Mahathir apabila Sultan Sallehuddin mendapati Mukhriz hilang sokongan majoriti selepas menemubual kesemua ADUN negeri itu. – KOSMO! ONLINE