DUNGUN – Seorang pemuda etnik Rohingya yang hilang ketika mencari kepah di muara Sungai Paka, sejak tiga hari lalu disahkan mati lemas, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mayat Osnah Ahmad Abdul Salam, 20, ditemui pada pukul 3.55 petang.
“Mayat mangsa ditemui terdampar di tebing sungai berhampiran kawasan paya bakau, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dipercayai hilang pada Jumaat lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada kelmarin, Osnah Ahmad dikatakan hilang akibat dihanyutkan arus sungai sewaktu sedang mencari kepah di kawasan tebing sungai bersama rakan-rakannya.
Maizura berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun, di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE