SKUAD hoki negara perlu segera melupakan episod kekecewaan mereka pada kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 kerana India antara pasukan pencabar yang perlu ditewaskan di Sukan Asia Hangzhou, China pada September depan.
Aksi final awal pagi semalam, impian skuad hoki lelaki negara untuk menjuarai saingan Trofi ACT 2023 tidak menjadi kenyataan apabila tewas 3-4 kepada India di Stadium Mayor Radhakrishnan di Chennai, India.
Kekalahan tersebut membuktikan Speedy Tigers masih perlu menggandakan usaha kerana mengikut statistik daripada tujuh perlawanan diharungi, skuad negara melakar lima kemenangan dan tewas dua kali ke atas India.
Biarpun kecewa dengan kekalahan tersebut, ketua jurulatih skuad hoki negara, A. Arul Selvaraj tetap memberi pujian kepada pemain negara yang menampilkan aksi cukup baik biarpun diasak hebat pasukan tuan rumah.
“Kekalahan ini memang susah untuk diterima, tetapi kita perlu ambilnya dengan tabah untuk mempelajari sesuatu.
“Daripada tujuh perlawanan kita menang lima dan dua tewas, kedua-duanya di tangan India. Banyak yang pemain lakukan dengan bagus namun kita perlu berusaha belajar untuk membuat keputusan di saat genting, ketika berada di bawah tekanan.
“Kita dapat lihat India yang berada di ranking keempat dunia, mereka tahu bila nak membuat keputusan kerana sentiasa menentang pasukan yang mmengamalkan corak permainan berintensiti tinggi seperti Belgium dan Belanda.
“Kita juga harus selalu menentang pasukan seperti itu dan belajar mengurangkan kesilapan,” kata Arul.
Aksi di Chennai itu menyaksikan Speedy Tigers bukan hanya mencatat pencapaian baharu mara ke final kali pertama Trofi Juara-Juara Asia, malah ranking pasukan negara melonjak satu anak tangga, ke kedudukan 10 dunia, memintas Korea.
Justeru, Arul yakin pencapaian itu mampu menjadi perangsang kepada pasukan sebelum ke China untuk menghadapi saingan Sukan Asia pada 23 September hingga 8 Oktober.
Untuk rekod, Trofi Juara-Juara Asia diperkenalkan pada 2011 dan skuad negara lima kali muncul pemenang tempat ketiga pada 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018, justeru pencapaian ke final kali ini satu kemajuan yang baik.
Di Sukan Asia, pasukan lelaki negara dalam kumpulan B, bersama Korea, Indonesia, Oman, China, Thailand, manakala kumpulan A membabitkan India, Pakistan, Jepun, Bangladesh, Singapura dan Uzbekistan. Skuad negara membuka tirai pada 24 September menentang Thailand.