HONOLULU, HAWAII – Kemarahan penduduk meningkat terhadap tindak balas pihak berkuasa dalam kebakaran hutan yang memusnahkan bandar Lahaina di Pulau Maui, Hawaii, yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 93 orang setakat ini.
Lebih 2,200 struktur rosak atau musnah dalam kebakaran di sekitar Lahaina, demikian menurut anggaran pegawai, yang menyebabkan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal.
Pihak berkuasa Hawaii telah memulakan siasatan mengenai cara bencana itu dikendalikan dengan penduduk mendakwa mereka tidak diberikan amaran mengenai kebakaran itu.
“Gunung di belakang kami terbakar dan tiada sesiapa memberitahu apa-apa kepada kami.
“Anda tahu bila kami sedar berlakunya kebakaran? Apabila api sudah sampai di jalan hadapan rumah kami,” kata seorang penduduk, Vilma Reed.
Reed, yang mana rumahnya musnah dalam kebakaran itu berkata, dia bergantung harap kepada bantuan orang lain.
Sementara itu, sokongan tambahan pakar telah dikerahkan ke negeri itu ketika usaha forensik terus dijalankan bagi mencari mangsa-mangsa kebakaran hutan yang memusnahkan bandar Lahaina, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Penduduk yang selamat ditempatkan di pusat-pusat perlindungan kecemasan manakala usaha bomba untuk memadam kebakaran masih diteruskan.
Seorang pegawai kanan di Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), Jeremy Greenberg berkata, bantuan tambahan telah dihantar termasuk pasukan mencari dan menyelamat bandar serta pasukan pemadam kebakaran.
“Keutamaan kita adalah keselamatan mangsa yang selamat,” katanya sambil menambah, hampir 1,000 orang masih gagal dihubungi. – AFP/AGENSI