LONDON – Manchester United akan memulakan musim mereka di laman sendiri dengan menentang Wolves awal pagi nanti dengan harapan baharu untuk menamatkan penantian 10 tahun bagi memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun ketidaktentuan berlarutan mengenai masa depan kelab tersebut.
Sembilan bulan selepas pengumuman oleh pemilik Keluarga Glazer bahawa mereka sedang mengintai peluang untuk menjual kelab gergasi EPL tersebut, namun cubaan tersebut terhenti selepas beberapa proses bidaan menemui jalan buntu.
Sebelum ini, jurubank Qatar, Sheikh Jassim Bin Hamad Al Thani dan jutawan Britain, Jim Ratcliffe berminat untuk membeli The Red Devils.
Bagaimanapun, Ratcliffe menegaskan, beliau tidak akan membayar harga yang tidak masuk akal untuk menguasai Manchester United.
Harapan penyokong untuk melihat pemilik baharu boleh dikatakan sudah dimuktamadkan sebelum bermulanya sepak mula EPL berlangsung.
Biarpun berada dalam ketidaktentuan, pengurus United, Erik ten Hag sekali lagi mendapat sokongan padu terutama dalam keputusan perpindahan pemain apabila membelanjakan hampir £200 juta (RM1.16 bilion) untuk mendapatkan penjaga gol, Andre Onana; pemain tengah, Mason Mount serta penyerang, Rasmus Hojlund.
“Kami sudah memilih penyerang dan kami sangat gembira dengan pilihan kami. Terdapat strategi dalam setiap keputusan dan kami gembira dengan skuad yang kami ada sekarang,” kata Ten Hag.
Menjelang pertembungan pertama dengan Wolves, Hojlund akan terlepas untuk beraksi selama beberapa minggu kerana kecederaan belakang.
Bekas penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov menegaskan, Ten Hag perlu tampil lebih serius terutama untuk menamatkan aksi dominan pasukan Manchester City.
“Ten Hag kini mempunyai pemain yang beliau mahukan. Beliau kini sudah bersedia sepenuhnya dan pasti peminat menjangkakan keputusan lebih baik. Ini jelas bahawa United perlu menjadi pencabar kejuaraan. Mereka perlu melakukannya musim ini.
“Sama ada mereka akan menjadi juara adalah persoalan lain tetapi yang pasti, mereka perlu meletakkan sasaran untuk mencabar Manchester City untuk kejuaraan. Jika tidak, pasukan lain juga berjuang untuk berada di sana,” kata Berbatov. – AGENSI