PARIS, Perancis – Menara Eiffel di Paris dikosongkan dan ditutup kepada orang ramai sebagai langkah berjaga-jaga selepas satu ancaman bom diterima semalam, lapor laman berita Wion News.
Pelawat yang berada di tiga tingkat struktur itu dan di dataran bawahnya dikosongkan pada pukul 1.30 tengah hari (waktu tempatan) semalam.
Organisasi yang menguruskan tapak itu, Syarikat Operasi Menara Eiffel (SETE) berkata, pakar pemusnah bom serta polis yang bertindak balas ke lokasi kejadian telah menggeledah kawasan itu termasuk sebuah restoran di monumen tersebut.
“Ia adalah prosedur biasa dalam situasi seperti ini, namun jarang berlaku,” kata seorang jurucakap kepada agensi berita AFP.
Menurut laporan sebuah akhbar harian Perancis, Le Parisien, perimeter keselamatan yang luas telah dibina, lalu lintas berhampiran dilencongkan dan monumen itu dikosongkan.
Dua jam kemudian, sumber polis Percancis berkata: “Ia adalah amaran palsu, maka orang ramai boleh kembali ke dalam (Menara Eiffel).”
Sebilangan pelancong yang memenuhi monumen ikonik di Paris semasa kemuncak musim panas berkata, mereka kesal dengan penutupan selama dua jam itu.
Mereka terpaksa menunggu dalam barisan sepanjang hampir 100 meter di salah satu pintu masuk sebelum ancaman bom itu dibatalkan. – Agensi