fbpx

Harimau Malaya perlu sejarah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGAMBIL kira Ogos sebagai bulan kemerdekaan yang sarat dengan cerita suka duka pahlawan terdahulu berjuang menuntut kemerdekaan, adalah molek untuk mencoret nukilan kali ini tentang sejarah sebuah negara bernama Malaysia.

Tidak kiralah bagaimana jalan ceritanya, helaian buku sejarah negara sudah pun penuh termasuk juga dalam hal bola sepak yang pernah berada di puncak dengan pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa.

Sebut saja nama seperti ­Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari atau ‘Supermokh’, Datuk Soh Chin Ann, Datuk Santokh Singh dan beberapa figura masyhur lain, pasti ramai yang kenal walaupun ada antara kita langsung tidak berkesempatan menyaksikan mereka beraksi di lapangan.

Ketika itu, Malaysia adalah kuasa besar kepada bola sepak di Asia hingga mampu layak ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980, malah ada yang menggelarkannya Harimau Asia.

Tanpa berniat menafikan sumbangan bekas pemain terdahulu, tiada guna untuk terus dibuai mimpi indah dengan cerita manis lampau dan sudah tiba masanya pengendali negara, Kim Pan Gon memimpin anak buahnya keluar daripada baya­ngan sejarah lama dengan me­ngukir kenangan sendiri.

Cerita lama akan kekal tersemat rapi, namun sejarah tidak pernah mengucapkan selamat tinggal sebaliknya ia pasti akan mengatakan ‘sampai jumpa lagi’.

Ingatlah sejarah bukanlah satu beban ingatan melainkan pene­rangan jiwa untuk me­nyuluh kejayaan pada masa akan datang.

“Kehidupan kita pun ada sejarah, yang silap kita betulkan. Jangan kata nak pandang ke belakang untuk sekadar lihat sejarah, kita gunakannya sebagai panduan untuk kita terus maju ke depan.

“Sejarah adalah pelajaran untuk kejayaan masa depan, gunakannya untuk memperbaiki kelemahan yang ada,” kata pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim.

Dua aksi persabahatan menanti Harimau Malaya bulan depan, bertemu Syria dan China diikuti Pestabola Merdeka (Oktober), kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 (bermula November) dan Piala Asia 2023 (Januari 2024).

Selepas melihat peningkatan ketara dipamerkan skuad kebangsaan, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mula memasang cita-cita untuk melihat ­Harimau Malaya berada dalam kelompok 15 terbaik Asia.

Sebaliknya, Pan Gon sekali lagi bertegas yang beliau bukan ahli silap mata yang mampu menjelmakan perubahan sekelip mata, sebaliknya tetap mengharapkan sokongan daripada pelbagai pihak untuknya lunaskan cabaran Hamidin.

“Sekarang kami melangkah ke hadapan dan akan terus berusaha untuk berada di tahap lebih baik. Tetapi kita tidak boleh me­lakukannya dalam setahun atau hanya beberapa bulan, ia satu perjalanan dan saya sudah katakan sebelum ini yang kami berada pada momentum baik.

“Kita belum tahu dan mungkin berdepan situasi yang lebih sukar (persahabatan bulan depan).

“Dalam hal ini, semua orang kena bersatu dan bergerak bersama-sama untuk bergerak ke depan dengan lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI